Reezal Merican guna keadah ‘Cara Kepala Batas’ kukuhkan nilai kekeluargaan di Kepala Batas
CALON Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican akan membawa ‘Cara Kepala Batas’ dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi kawasan berkenaan.
Reezal Merican berkata kaedah berkenaan terbukti berkesan dan diguna pakai bekas Ahli Parlimen kawasan berkenaan yang juga Perdana Menteri kelima iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini.
“Di Kepala Batas kita mempunyai hubungan kekeluargaan yang sangat kuat seakaan-akan kita sebuah keluarga besar, sikap ambil peduli ini saya pastikan terus berlaku.
“Apa yang saya nak bawa ini cara Kepala Batas, saya diajar Pak Lah cara Kepala Batas, Pak Lah diajar bapanya cara Kepala Batas, bapanya dididik oleh Abdullah Fahim cara Kepala Batas maka saya nak bawa cara Kepala Batas ini untuk disambung generasi yang berada di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pelancaran jenteran BN Kepala Batas di Wisma Umno Kepala Batas, hari ini.
Sementara itu, Reezal Merican berkata beliau berterima kasih kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kerana tetap dengan pendiriannya mengekalkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri jika BN menang pada PRU15.
“Kita mahu melihat sebuah kerajaan yang stabil serta negara yang lebih makmur datang daripada kepimpinan beliau.
“Dalam hal ini, agenda yang sama juga iaitu Demi Kepala Batas dan demi menyumbang kepada kekuatan terbinanya sebuah kerajaan yang lebih stabil saya bawa di Kepala Batas ini,” katanya.