“Saya calon daripada Allah bertanding di Ketereh” – Khlir
DATUK Khlir Mohd Nor menyifatkan pencalonannya bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Ketereh sebagai calon ‘daripada Allah SWT’, bukannya calon bidan terjun.
Malah, beliau menyifatkan pemilihannya sebagai calon PN di kerusi itu adalah ketentuan Allah SWT.
“Saya calon daripada Allah SWT, memang takdir saya untuk jadi calon.
“Jangan kata (saya) calon bidan terjun, (saya) calon daripada Allah SWT,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Parlimen Ketereh menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN), PN dan Pakatan Harapan (PH) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).
BN diwakili Ketua Puteri Umno Ketereh, Marzuani Ardila Ariffin,
PH pula mempertaruhkan Rahimi L Muhamud, manakala Pejuang diwakili Haneef Ibrahim.
Kerusi Parlimen Ketereh dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu apabila Tan Sri Annuar Musa menang dengan majoriti 4,626 undi menewaskan Wan Ismail Wan Jusoh dari PAS dan Radzi Jidin dari Bersatu.
Bagaimanapun nama Annuar digugurkan sebagai calon oleh BN pada PRU-15 kali ini.
Dalam pada itu Khlir menjelaskan dia tidak menawarkan manifesto tertentu kepada pengundi Parlimen Ketereh, sebaliknya akan mendapatkan maklum balas pengundi mengikut kumpulan usia bagi memenuhi aspirasi mereka.
Bagaimanapun beliau berjanji akan membela nasib pesara tentera jika diberi peluang untuk menjadi wakil rakyat.
“Saya nak bela tentera atau bekas tentera…insya-Allah saya tahu macam mana,” katanya. -Malaysiapost