Shahidan bimbang Ismail Sabri kena ‘kencing’

Shahidan bimbang Ismail Sabri kena ‘kencing’

MESKIPUN bertanding sebagai calon Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim masih memikirkan nasib yang bakal menimpa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang merupakan ‘poster boy’ Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini. 

Beliau berkata, promosi Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ BN tidak lagi meniti bibir daripada pengerusinya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika ini.

“Ya saya pun tak faham, sepatutnya calon bakal Perdana Menteri BN adalah Ismail Sabri, tapi nampak mereka macam diamkan saja. Saya rasa Ismail Sabri kena berhati-hati di jalan raya, silap-silap kena kencing (tipu) di tengah jalan.

“Puak ini kalau dia boleh khianat parti, dia juga boleh kencing calon Perdana Menteri. Tengok diam saja, sepatutnya momok-momokkan calon perdana menteri, poster boy. Tapi diam saja.

“Sedangkan parti-parti lain dah ketengahkan calon bakal Perdana Menteri. PN tampilkan Muhyiddin Yassin, PH pula Anwar Ibrahim. Yang depa (BN) apa pun takda lagi, kasihan dengan Ismail Sabri,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam program Jalan Kaki Bersama Rakyat sempena kempennya di Arau, hari ini.

Shahidan yang digugurkan BN sebagai calon PRU15 sebelum ini, tekad mempertahankan kerusi Parlimen Arau menggunakan tiket PN. 

Beliau menjelaskan, walaupun usaha penyatuan ummah antara Umno, Bersatu dan PAS tidak berjaya, namun beliau nekad untuk memulakan usaha itu di Arau.

“Insya-Allah kita akan mulakan gerakan penyatuan ummah ini di Arau. Orang Umno, PAS dan Bersatu insya-Allah akan menyokong saya.

“Kedudukan ini akan menampakkan bahawa jumlah (undi) yang kita dapat nanti akan membuktikan rakyat mahukan perpaduan ummah,” katanya. -Malaysiapost

Komen