BN menawarkan tawar Perancangan Amal dan Usaha (PADU) jika menang PRU-15
BARISAN Nasional (BN) sebentar tadi menawarkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU) jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata PADU adalah tawaran baharu yang segar daripada parti itu mengandungi 99 amal dan usaha BN yang akan menjadi panduan dalam mengemudi Malaysia menjadi negara berkemajuan.
“PADU bukan janji manis dan indah. PADU bukan tentang segala-galanya percuma. PADU bukan tentang pemansuhan dan pengurangan tanggungjawab dalam serba serbi.
“Tetapi, PADU adalah pelan yang serius dan rasional. Pelan yang mempunyai sasaran yang jelas dan pelan yang BN akan amal dan usahakan dengan sebaiknya demi kemaslahatan semua,” katanya pada Pelancaran PADU yang disiarkan secara langsung di Facebook BN.
Ahmad Zahid berkata pihaknya sedar mereka mempunyai tugas dan tanggungjawab untuk menawarkan yang terbaik kepada negara jadi mereka membuat dua strategi penting bagi merealisasikan PADU.
“Pertama, kami akan mewujudkan kestabilan politik dengan membentuk sebuah kerajaan yang kuat. Kerajaan yang berupaya mengakhiri segala politik jelik dan pelik, lompat melompat, ugut-mengugut dan tekan-menekan.
Kerajaan yang akan menoktah segala sandiwara yang membawa ketidakstabilan dan ketidaktentuan dalam politik dan kerajaan.
“Kedua, kami akan menguruskan Malaysia agar menjadi sejahtera dan makmur. Percaya ini akan dicapai dengan melaksanakan pelbagai pelan dan perancangan yang bersifat prorakyat, propembaharuan, prokemajuan dan mengutamakan keterangkuman,” katanya.