BN rancang laksana pelantikan KP SPRM, Pengerusi SPR melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen
BARISAN Nasional (BN) merancang melaksanakan pelantikan jawatan utama negara melalui saringan jawatan kuasa khas Parlimen.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi contoh dua jawatan utama yang perlu melalui saringan iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Pelantikan jawatan utama negara seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Pengerusi SPR akan melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.
“Melalui wakil mereka di Parlimen, rakyat akan diberikan mandat untuk meneliti dan terlibat dalam tapisan pelantikan jawatan awam terpenting di negara ini,” katanya ketika melancarkan Perancangan Amal dan Usaha (PADU), malam ini.
Ahmad Zahid juga berjanji untuk menghapuskan semua permit import (AP) untuk semua jenis kereta elektrik bagi memastikan akses yang lebih luas kepada kereta mesra alam mampu milik.
“Langkah ini bertujuan untuk memastikan masa depan Malaysia juga mesti lestari dan selamat.
“Dan kita juga akan berusaha menambah litupan kawasan berhutan negara kepada 60 peratus keluasan dengan kerjasama kerajaan negeri,” katanya.