BN sandarkan personaliti calon dalam misi menang 3-0 di Parit
Najamuddin Mohd Nor
KEKUATAN personaliti dan pengaruh calon menjadi pertaruhan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan Parlimen Parit dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
DUN Bota dan DUN Belanja yang terletak dalam Parlimen Parit telah membentuk kubu kuat BN sejak pilihan raya umum, 2013.
BN yang mencatat kemenangan 3-0 pada PRU14 akan berusaha keras memastikan Parlimen Parit sekali lagi menyapu bersih pada PRU15 ini.Â
Kali ini, BN kekal mempertaruhkan personaliti Datuk Mohd Nizar Zakaria bagi memikat hati pengundi di Parlimen berkenaan.
Penyandang Parlimen itu akan ditentang dalam saingan empat penjuru.
Seramai 47,915 pengundi di Parlimen Parit akan menentukan siapakah yang layak menjadi wakil rakyat mereka pada 19 November ini.
Mereka boleh membuat pilihan untuk mengekalkan Mohd Nizar atau memilih wakil rakyat baru sama ada Muhammad Ismi Mat Taib (PN), Nurthaqaffah Nordin (PH) atau Faizol Fadzli Mohamed (GTA).
Pada PRU14 lalu, Mohd Nizar yang meraih 14,035 undi menang dengan majoriti 6,320 undi, menewaskan calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad yang memperoleh 7,715 undi dan calon PKR, Tarmizi Mohd Jam yang memperoleh sebanyak 7,240 undi.
Pada masa sama, DUN Bota dan Belanja turut menyaksikan pertembungan empat penjuru.
Calon BN yang merupakan DUN Belanja, Khairudin Abu Hanipah akan ditentang Shaharuzzaman Bistamam (GTA), Wan Meor Safwat Naqiuddin Shamsudin (PN) dan Ahmad Hishamuddin Abdullah (PH).
DUN Belanja yang merupakan deposit tetap BN untuk membentuk kerajaan negeri Perak yang mempunyai 17,767 pengundi.
Pada PRU14 lalu, Khairudin menang dengan majoriti undi sebanyak 2,729 undi.
Satu lagi deposit tetap BN ialah DUN Bota yang memiliki 30,148 pengundi.
Kekuatan BN akan diuji dalam pertembungan empat penjuru yang menyaksikan lawan meletakkan calon ‘heavyweight’ masing-masing dalam usaha merampas kerusi itu dari tangan BN.
Khairul Shahril yang merupakan Exco Kerajaan Perak berdepan cabaran Dr Najihatussalehah Ahmad (PN), Usaili Alias (PH) dan Mohd Shahril Harahab Abdul Halil (GTA). -Malaysiapost