Calon PH Parlimen Gopeng positif Covid-19

Calon PH Parlimen Gopeng positif Covid-19

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing, disahkan positif Covid-19, hari ini.

Sehubungan itu, Kar Hing daripada PKR memohon maaf dan meminta orang ramai yang berjumpa dengannya sebelum ini menjalankan ujian kendiri Covid-19.

“Pada jam 12 tengahari hari ini badan saya mengalami tanda-tanda kurang sihat lalu saya menjalankan ujian kendiri dua kali.

“Kedua-dua keputusan ujian itu menunjukkan bahawa saya sah dijangkiti Covid-19,” katanya dalam kenyataan dimuat naik menerusi Facebook, hari ini.

Menurutnya, beliau kini mula menjalankan kuarantin kendiri di rumah selama lima hari sehingga 11 November ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Bagaimanapun, beliau berkata, segala program yang sudah disusun oleh jentera akan berjalan seperti biasa.

“Segala program berbentuk jelajah, lawatan, muhibah, hi-tea, ceramah akan saya teruskan secara dalam talian sehingga tamat tempoh kuarantin,” katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Kar Hing menentang Muhammad Farhan Abdul Rahim (Perikatan Nasional), Cally Ting Zhao Song (Barisan Nasional) dan G Balachandran (Warisan). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Tan Kar Hing

Komen