Dulu PN mengata pengeluaran KWSP syarat Puteri Gunung Ledang – Asyraf Wajdi

Dulu PN mengata pengeluaran KWSP syarat Puteri Gunung Ledang – Asyraf Wajdi

KETUA Pemuda Umno menempelak tawaran Perikatan Nasional (PN) mahu meneliti pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki berkata, sebelum ini Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara yang bersungguh-sungguh menolak cadangan pengeluaran one-off KWSP yang dicadangkan Umno.

“Saya tersenyum sendiri bila membaca berita ini. Tawaran PN untuk membenarkan pengeluaran KWSP kalau mereka menang PRU kali ini.

“Masakan PN ingat rakyat sudah lupa. Bahawa Muhyiddin lah orangnya yang menolak idea pengeluaran ini.

“Konon atas alasan bantuan dari kerajaan sudah mencukupi,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, rakyat tidak lupa bahawa Umno yang mendesak kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP sehingga digelar syarat ‘Puteri Gunung Ledang’.

Katanya, dengan desakan itu kerajaan akur membenarkan pengeluaran KWSP secara ansuran berbanding dibuat one-off.

Kalau beransur-ansur cuma RM1,000 sebulan, itu cuma untuk survivability (sara hidup) rakyat. Sedangkan masalah ketika itu adalah keperluan untuk membayar hutang dan memulakan modal untuk perniagaan.

“Akhirnya rakyat terpaksa meminta lagi. Dan kali kedua sudah tentulah sedikit sukar untuk DS Ismail Sabri ketika itu memandangkan rizab KWSP telah pun digunakan sebelum ini.

“Kalaulah KWSP pada 2021 itu diberi secara one off dan tiada darurat kuasa yang menutup ekonomi, tentu tiada keperluan pemberian KWSP secara pukal lagi,” ujarnya.

Dalam masa sama, Asyraf Wajdi berkata hasil rundingan Majlis Kerja Tertinggi Umno maka Ismail Sabri mengumumkan pengeluaran RM10,000 secara one off kepada semua pencarum.

“Walhal sesetengah pihak sana sampai menyatakan ‘keluar KWSP untuk beli IPhone’ atau ‘keluar KWSP untuk berfoya-foya’.

“Ini semua menghina dan merendahkan kebijaksanaan rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sehubungan itu jika Barisan Nasional diberi mandat semula pada PRU15, permohonan pengeluaran KWSP secara bersasar akan diberi perhatian. – Malaysiapost

Komen