Hajat warga emas uzur jumpa Ismail Sabri tertunai

Hajat warga emas uzur jumpa Ismail Sabri tertunai

PERDANA Menteri, Datuk Seri ismail Sabri Yaakob berkesempatan melawat warga emas yang telah lama berhasrat untuk bertemu dengan beliau.

Dalam hantaran Facebook, beliau berkata wanita itu, Salamah Omar juga peneroka di Felda Bukit Mendi, Triang Pahang kini tidak berapa sihat.

Penyandang kerusi Parlimen Bera itu berkata beliau meluangkan masa menziarahi Salamah setelah mendapat tahu warga emas itu sudah beberapa kali menyebut mahu bertemu dengannya.

“Singgah menyampaikan hajat seorang kakak bernama Salamah binti Omar, peneroka di Felda Bukit Mendi yang tidak berapa sihat.

“Keluarganya maklumkan dah beberapa hari asyik sebut nak jumpa saya, kalau tak dapat jumpa cukup saya lambai dari dalam kereta bila lalu depan rumah.

“Semoga lekas sembuh, Kak Salamah. InsyaAllah saya doakan selalu,” katanya.

Dalam video yang dimuat naik di hantaran itu, kelihatan warga emas itu ceria berbual dengan Ismail Sabri sambil berkongsi perkembangan kesihatannya. – Malaysiapost

Komen