Ismail Sabri tetap calon PM, pembangkang sengaja kelirukan pengundi
TIDAK timbul isu pemimpin Umno yang lain bakal menjadi Perdana Menteri, kata Ketua Umno bahagian Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad.
Sebaliknya beliau berkata isu kononnya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bukan calon Perdana Menteri Barisan Nasional (BN) sengaja dimainkan oleh parti lawan bagi mengelirukan pengundi.
Ini kerana katanya, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno telah memutuskan sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri selepas BN memenangi PRU15.
Malah beliau menegaskan, 156 bahagian Umno telah menyokong keputusan tersebut semasa persidangan mesyuarat bahagian.
“Pembangkang sedar dengan menggunakan isu pemimpin Umno ada kes mahkamah dan dihukum penjara atas kes rasuah, maka mereka cuba meracuni rakyat agar tidak memilih BN lantaran ramai pemimpinnya di katakan terlibat rasuah.
“Memilih BN sama seperti menggalakkan rasuah negara ini. Persepsi ini cuba dimainkan oleh pembangkang bagi memesong pemikiran pengundi.
“Saya menyeru kepada pengundi di seluruh negara, jangan sesekali mempercayai fitnah yang cuba merosakkan keharmonian Umno.
“Satu undi untuk BN adalah satu undi untuk kestabilan dan kemakmuran negara yang bakal diterajui oleh Ismail Sabri,” katanya. – Malaysiapost