Isytihar harta: Status Anwar, Wan Azizah masih ‘akan dikemaskini’

Isytihar harta: Status Anwar, Wan Azizah masih ‘akan dikemaskini’

SERAMAI 80 calon kerusi Parlimen mewakili PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sudah mengisytiharkan harta masing-masing membabitkan aset bersih terkumpul melebihi RM354 juta.

Berita Harian melaporkan, bagaimanapun, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Isterinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilihat masih belum berbuat demikian dan berstatus ‘akan dikemaskini’.

Malah, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail yang akan mempertahankan kerusi di Kulim Bandar Baharu, juga berstatus ‘akan dikemaskini’.

Antara yang mengisytiharkan aset bersih paling banyak dalam senarai itu adalah calon PKR bagi Parlimen Tanah Merah iaitu Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor, atau lebih mesra disapa Datuk D, dengan harta berjumlah RM106.1 juta.

Beliau diikuti calon Parlimen Sungai Buloh iaitu Datuk R Ramanan berjumlah RM63.5 juta dan calon Parlimen Hulu Selangor iaitu Dr Sathia Prakash bernilai RM40 juta.

Berdasar semakan, Datuk D memiliki aset kira-kira RM100 juta daripada pelaburannya dalam DNS Capital Sdn Bhd dan iLimo Stalite LTD, manakala kira-kira RM5.3 juta adalah berbentuk hartanah.

Rekod yang dikemukakan di laman web itu juga menunjukkan bahawa Datuk D pernah memegang pelbagai jawatan antaranya Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) dan Pengarah Eksekutif Iris Corp.

Bagi Ramanan pula, aset bersih bernilai RM63.5 juta itu turut merangkumi hartanah bernilai RM27 juta, bagaimanapun dokumen sokongan untuk Dr Sathia Prakash yang mempunyai rangkaian klinik perubatan, tidak disertakan dalam laman berkenaan.

Pengisytiharan harta itu dibuat menerusi laman web calonkeadilan.org.

Semua calon PKR dikehendaki mengisytiharkan harta mereka kepada parti, tetapi keputusan untuk menerbitkannya tidak pernah berlaku sebelum ini. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Dr Wan Azizah

Komen