Kerajaan Pulau Pinang bayar tambang pengangkutan pelajar IPT pulang mengundi
KERAJAAN DAP Pulau Pinang akan menanggung tiket dua hala bas dan kereta api kepada pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) di negeri itu yang mahu pulang mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
DAP dalam kenyataan berkata, usaha kerajaan negeri menerusi kempen ‘Jom Balik Undi Selamatkan Malaysia PRU15’ itu bagi membantu pelajar daripada golongan B40 untuk melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai pengundi,
“DAP Pulau Pinang telah menerima maklum balas daripada orang awam mengenai pelajar yang tidak mampu untuk pulang ke kampung halaman untuk membuang undi disebabkan kekangan kewangan.
“Sehubungan itu, kami akan membayar balik tambang pengangkutan dua hala pelajar IPT di Pulau Pinang yang ingin balik undi di luar negeri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, tarikh tiket perjalanan mestilah bermula 16 November sehingga 21 November ini.
“Tempoh tuntutan subsidi bermula hari ini hingga 18 November sahaja.
“Kadar subsidi yang diberikan adalah penuh mengikut harga resit pembelian tiket bas dan kereta api sahaja. Ia juga terhad ‘siapa cepat dia dapat,” katanya.
Kenyataan itu berkata, sekiranya mereka berjaya, pemohon akan menerima WhatsApp daripada pihak urus setia dalam tempoh 24 jam selepas permohonan.
Semua pelajar boleh membuat permohonan melalui laman web bit.ly/jomundipulaupinang. – Malaysiapost