KJ tempelak PH, hanya Ismail Sabri calon PM bukan orang lain

KJ tempelak PH, hanya Ismail Sabri calon PM bukan orang lain

CALON Barisan Nasional (BN) Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin menempelak Pakatan Harapan (PH) yang terus memainkan isu murahan satu undi untuknya merupakan satu undi untuk Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau menegaskan isu tersebut tidak relevan kerana satu undi untuk dirinya merupakan satu undi untuk kalahkan PH dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Apa benda logik pemikiran mereka? Satu undi untuk KJ untuk kalahkan calon PH. Presiden Umno itu bukan calon Perdana Menteri kita.

“Zahid sendiri dah cakap calon Perdana Menteri BN ialah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ini sudah jelas, tak payah nak buat politik murahan nak pengaruhi pengundi Sungai Buloh,” katanya.

Dalam pada itu, Khairy merayu kepada pengundi di Sungai Buloh memberikan undi kepada BN supaya suara mereka dapat dibawa ke Parlimen.

“Saya bagi tahu dengan jelas jika saya menang di Sungai Buloh saya akan pastikan sebagai ahli Parlimen dan pemimpin Umno angkat nama Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri semula.

“Beliau (Ismail Sabri) jamin saya jadi menteri semula, takkan orang Sungai Buloh tak nak ada menteri di sini,” katanya.

Khairy berkata, beliau menghormati calon yang bertanding di Sungai Buloh, namun dirinya mempunyai kelebihan dengan dilantik semula menjadi menteri sekiranya BN menang pada PRU kali ini.

“Saya datang sini untuk menang. Buat masa ini kita fikir Sungai Buloh saja,” katanya. – Malaysiapost

Komen