‘Nobody left behind’ di Pasir Panjang, tekad calon BN Mohd Rafiq

‘Nobody left behind’ di Pasir Panjang, tekad calon BN Mohd Rafiq

Najamuddin Mohd Nor

KEHADIRAN calon ‘orang muda’ bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) telah membuka peluang pelbagai idea lebih segar dan bertenaga ditampilkan sekali gus membawa perubahan baharu. 

Itu tekad Mohd Rafiq Mohd, 37, calon muda yang ditampilkan Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Panjang pada PRU15 ini.

Sebagai calon muda, beliau berkata, pelbagai idea dan pembaharuan seiring dengan kehendak semasa akan ditawarkan kepada rakyat DUN Pasir Panjang yang terletak dalam Parlimen Lumut.

Katanya, bukan usia semata-mata, namun beliau berazam memastikan ‘nobody left behind’ selari dengan pembangunan yang bakal dirancang untuk masa depan di DUN berkenaan. 

“Tiada siapa yang akan tertinggal di belakang, itu tekad saya untuk rakyat di Pasir Panjang, tak kira segenap lapisan umur, pelbagai bangsa, agama dan keturunan saya berjanji menjadi wakil rakyat yang bekerja untuk semua. 

“Mensejahterakan ekonomi rakyat, memastikan kebajikan rakyat, tiada yang sakit terlantar di rumah tidak dibantu, membasmi kemiskinan tegar antara fokus utama saya jika diberi mandat menjadi wakil rakyat pada 19 November ini,” katanya kepada Malaysiapost. 

Mohd Rafiq yang merupakan Ketua Pemuda Umno Bahagian Lumut berkata, sebagai anak jati dan dibesarkan di DUN Pasir Panjang, beliau amat memahami kehendak masyarakat tempatan.

“Saya bukan baru hari ini turun padang, baru nak jumpa masyarakat. Hakikatnya saya dah buat kerja-kerja menjaga rakyat ini dah lama sejak selepas PRU14 lagi. 

“Sebab itu saya dapat memahami apa kehendak rakyat di DUN Pasir Panjang dan saya tidak mahu jadi pemimpin bermusim, tanpa ‘title’ wakil rakyat pun saya dah lama turun padang, rasai denyut nadi rakyat. 

“Jangan jadi pemimpin bermusim dan datang ketika mahu mendapat sokongan daripada pengundi. Insyallah saya berjanji akan jadi wakil rakyat yang bekerja untuk rakyat jika dipilih kelak,” katanya. 

Mohd Rafiq berdepan cabaran sengit di DUN Pasir Panjang yang menyaksikan pertembungan lima penjuru. 

Selain menghadapi cabaran penyandang, Yahaya Md Nor dari Pakatan Harapan (PH), beliau juga akan berdepan cabaran  Nur Inderasyawalis Ahmad Mukhtar dari Warisan, Rosli Abd Rahman dari Perikatan Nasional dan Mohd Norazlee Mohd yang mewakili GTA.

Pada PRU14 lalu, DUN Pasir Panjang telah dimenangi Yahaya dengan majoriti 1,223 undi. -Malaysiapost

Komen