Pendidikan tinggi percuma di IPTA kepada anak golongan B40 – Zahid
PENDIDIKAN tinggi percuma akan diberikan kepada anak golongan kurang berkemampuan (B40) di semua universiti awam atau intitusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekiranya Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata menerusi Perancangan Amal dan Usaha (PADU), pihaknya turut menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus dan 50 peratus secara dalam talian.
“Selain pengajian tinggi percuma kepada semua individu dari kelompok B40, universiti awam atau IPTA di negara akan menawarkan sistem pengajian anjal iaitu 50 peratus pengajian di kampus, dan 50 peratus lagi secara dalam talian atau jarak jauh, yang sekali gus mengurangkan sehingga separuh kos pengajian.
“Malah, selepas ini, bagi menghapuskan eksploitasi, semua mahasiswa atau sesiapa sahaja yang melakukan latihan amali atau internship akan diwajibkan bayaran elaun oleh majikan.
“Perkara ini kita usahakan kerana kita sedar, pendidikan bukan sahaja pertahanan terbaik, malah senjata ampuh dalam memerangi kekurangan serta kesenjangan hidup,” katanya pada pelancaran PADU yang disiarkan secara langsung di Facebook BN, malam ini.
Selain itu, Ahmad Zahid berkata pihaknya juga akan menyedia dan memperkasa pendidikan awal yang terbaik melalui sistem asuhan dan pendidikan awal nasional percuma untuk semua kanak-kanak berusia enam tahun dan ke bawah.
Katanya, ini bermakna selain sistem sekolah rendah dan sekolah menengah, selepas ini Malaysia akan turut mempunyai sistem pendidikan awal dan asuhan percuma di seluruh negara.
“Ia tidak lagi bersifat serpihan-serpihan atau bergantung kepada budi bicara atau tahap kemampuan ibu bapa. Sebaliknya, ia akan diwujudkan sebagai sebuah sistem universal yang tersedia untuk semua di seluruh negara.
“Perubahan sistem yang radikal ini bukan sahaja akan mengurangkan sebahagian besar kos penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di seluruh negara, tetapi menjadi bukti komitmen dan pelaburan besar negara dalam memastikan asuhan dan pendidikan awal dilakukan dengan cara terbaik,” katanya.