Pengasas snek Mamee meninggal dunia
PENGASAS snek digemari ramai, Mamee Monster, Datuk Pang Chin Hin meninggal dunia pada usia 96 tahun pada Sabtu lalu.
Akhbar Sin Chew Daily dipetik sebagai berkata, Chin Hin menghembus nafas terakhir kira-kira jam 6.03 pagi.
Beliau meninggalkan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Menyingkap kisah hidup pengasas Mamee Monster itu, Chin Hin memulakan kerjaya sebagai pengedar kereta terpakai sebelum memutuskan untuk membuka kilang kecil di Melaka bagi mengeluarkan mi segera pada tahun 1971.
Setahun kemudian, syarikat itu melancarkan produk pertamanya dikenali Lucky Instant Noodle, tetapi malangnya ia gagal dikomersialkan.
Pada 1974, anak lelaki Chin Hin, Tan Sri Pang Tee Chew mendapat ilham selepas melihat penoreh getah memakan mi segera yang belum dimasak terus dari bungkusan.
Ia memberi idea kepadanya untuk menghasilkan mi segera siap dengan perisa tambahan.
Makanan ringan itu yang kemudiannya dikenali sebagai Mamee Monster, terbukti menjadi kunci untuk membuka kunci kejayaan syarikat itu.
Nama “Mamee” untuk snek tersebut berasal dari perkataan “mommy”.- Malaysiapost