Pengundi muda tertarik pada tawaran, bukan kempen aibkan lawan – penganalisis
Nurul Huda Abhar
PENGUNDI muda lebih berminat kepada peluang ditawarkan untuk golongan belia berbanding kempen berbentuk serangan peribadi dan mengaibkan pihak lawan.
Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata amalan ‘politik bersih’ adalah perkara penting yang diperlukan bukan sahaja bagi golongan anak muda malahan semua lapisan pengundi.
“Dalam menjamin sistem demokrasi negara matang dan sihat, perlu dipastikan kempen-kempen yang diadakan lebih kepada menawarkan sesuatu ataupun bersifat membina.
“Contohnya kempen yang membina negara berdasarkan tawaran yang dibuat calon,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Semalam Perdana Menteri berkata rakyat diyakini akan memilih kerajaan daripada parti yang menyatakan fakta serta bukti ketika berkempen bukannya pihak yang menyerang peribadi dan berhujah tanpa fakta.
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata rakyat kini lebih bijak menilai dan hanya mahu mendengar inisiatif yang sudah dan bakal dijalankan pada masa akan datang.
“Perkara berkaitan serangan-serangan (ketika berkempen), itu saya rasa itu mungkin taktik, strategi lama. Zaman sekarang, pengundi baharu, pengundi muda dan sebagainya pemikirannya sudah berbeza daripada dulu.
“Mungkin mereka tak suka dengar serangan-serangan peribadi, serangan yang kadang-kadang itu kurang tepat dari segi faktanya,” katanya di Kemayan, Bera, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, calon perlu segera menolak kempen bersifat mengaibkan, mencerca atau mengeluarkan kata-kata kesat kerana ia tidak langsung mencerminkan keperibadian calon itu sendiri.
Tegas beliau, kebiasaannya anak muda akan lebih tertarik dengan peluang untuk mempertingkatkan taraf hidup golongan belia yang ditawarkan calon atau parti.
“Apa tawaran untuk mereka dari peluang pekerjaan, sosial dan sebagainya. Mereka tidak berminat dengan kempen-kempen menjatuhkan dan mengaibkan personaliti,” ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau berkata kempen-kempen berunsurkan negatif akan mempengaruhi pemikiran dan tindakan golongan muda secara tidak langsung.
Tambahnya, ia kerana mahasiswa universiti kini lebih ramai yang cenderung berpolitik lantas melihat dan merujuk pendekatan pemimpin senior dalam berkempen.
“Mereka melihat dan merujuk tindakan pemimpin politik senior yang berkempen secara mengaibkan ia akan mempengaruhi anak muda lantas menganggap cara itu betul,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Izani menambah pengundi muda mempunyai akses yang banyak bagi mendapatkan maklumat termasuk informasi di internet.
Katanya, sehubungan itu calon perlu berhati-hati dan jangan memandang rendah kepada keupayaan pengundi menilai setiap maklumat yang diberikan calon dalam berkempen.
“Jika calon beri maklumat tidak tepat, berunsur fitnah itu akan menyebabkan calon itu ditolak,” ujarnya.
Beliau berkata, sikap sesetengah pengundi yang senang terpengaruh dengan sebaran tidak sahih turut memberi peluang kepada calon untuk menyebarkan perkara tidak benar ketika berkempen. – Malaysiapost