PH, Pejuang tak boleh bekerjasama kerana berbeza dasar
PENGERUSI Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan gabungan itu tidak boleh bekerjasama dengan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) kerana terdapat perbezaan dasar parti.
Presiden PKR itu berkata, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mewakili parti Melayu itu percaya hanya pemimpin berbangsa Melayu sahaja yang boleh memimpin negara ini sedangkan negara ini adalah untuk semua rakyat Malaysia.
“Beliau mewakili parti Melayu semata-mata dan mereka percaya hanya pemimpin Melayu boleh memimpin negara ini, jadi terdapat perbezaan dasar utama parti di sini.
“Yang kedua, dia (Dr Mahathir) lakukan dan terus mengawal rasuah terpilih, kita tidak boleh biar atau meneruskan penipuan ini sehingga membolehkan sistem ini memberi kekayaan keluarga mereka.
“Semua pemimpin kini menyatakan dasar dalam anti rasuah, tetapi lihatlah keluarga mereka, anak-anak mereka yang semuanya mendapat manfaat yang besar daripada kerajaan,” katanya lapor Berita Harian.
Anwar berkata demikian dalam wawancara oleh Bloomberg, hari ini.
Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pejuang dilaporkan berkata, beliau sedia berbincang dengan Anwar berkaitan kerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana mereka mempunyai matlamat yang sama.
Malah Dr Mahathir juga tidak kisah sekiranya ada yang melabelnya sebagai tidak malu kerana mahu bekerjasama dengan PH dan Anwar.
Ditanya mengenai tekadnya yang mahu menghapuskan rasuah dan perkara itu dianggap sebagai janji lama yang pernah dibuat sebelum ini, Anwar berkata pihaknya bukannya bercakap mengenai manifesto retorik.
“Kita bercakap mengenai komitmen yang teguh, selama 22 bulan (menjadi kerajaan) kita siasat, tangkap dan sabit mereka yang terbabit dengan rasuah. Saya perlu mengaku di sini, bahawa masa 22 bulan yang diberikan itu diketuai oleh Dr Mahathir.
“Selepas ini, sekiranya kita menang, ia akan diketuai oleh Anwar dan ia adalah personaliti berbeza, komitmen dan polisi juga berbeza,” katanya. – Malaysiapost