PH tawar RM50,000 kepada mangsa banjir jika menang PRU15
Pakatan Harapan (PH) Pahang menawarkan bantuan sehingga RM50,000 kepada mangsa banjir yang kediaman mereka rosak teruk jika memenangi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Calon PH Parlimen Bentong, Young Syefura Othman berkata, nilai bayaran bantuan itu diambil kira berdasarkan kerugian dialami mangsa.
“Ini adalah tawaran kami selepas mendengar pelbagai rintihan daripada mangsa banjir.
“Ada antara mereka mendakwa jumlah bantuan diberikan kerajaan sebelum ini tidak mencukupi jika dibandingkan dengan nilai kerosakan dialami mereka.
“Malah, ada antara mangsa memaklumkan tidak menerima sebarang berita selepas kira-kira 10 bulan berlalu,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, hari ini.
Young Syefura berkata, terdapat kes dikesan membabitkan mangsa banjir belum menerima bantuan baik pulih rumah seperti dijanjikan kerajaan.
Katanya, PH Pahang juga akan menambahbaik tahap kesiapsiagaan melalui penyelarasan kerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) jika dipilih sebagai kerajaan negeri.
“Kita perlu sedar dan ingat bahawa PRU15 bukan hanya untuk memilih wakil rakyat, tetapi memilih kerajaan yang berfungsi, telus dan mengambil berat kebajikan rakyat.
“Calon PH bagi kerusi Bentong sudah mengorak langkah dalam hal ini dan berharap pengundi dapat keluar beramai-ramai memilih calon paling berwibawa pada 19 November ini,” katanya.
Young Syefura turut meminta pengundi parlimen Bentong turut memberi sokongan kepada calon daripada PH dan memastikan kemenangan mereka.
Parlimen Bentong mempunyai empat kerusi DUN.
Kerusi DUN Sabai akan ditandingi penyandangnya, D Kamache, DUN Bilut turut menyaksikan penyandangnya, Lee Chin Chen manakala DUN Ketari, Thomas Su Keong Siong,
Thomas adalah ahli jawatankuasa tertinggi DAP Pusat dan sebelum ini memenangi kerusi parlimen Kampar, Perak.
Kerusi DUN Pelangai pula diwakili calon daripada AMANAH, Ahmed Wafiuddin Shamsuri. – Malaysiapost