PM kongsi rahsia kekal cergas walau sibuk berkempen
SUASANA berkempen dalam cuaca tidak menentu memberi cabaran tersendiri kepada semua calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ini termasuklah calon Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang bukan saja mengakui kepenatan, malah perlu menyesuaikan program dengan keadaan cuaca semasa.
Memasuki hari ketiga, beliau masih bersemangat menyantuni seberapa ramai pengundi yang ada dalam kawasan parlimen Bera.
Perdana Menteri sementara itu juga memberitahu, faktor kepenatan tidak timbul kerana beliau sudah biasa turun padang sejak menyandang kerusi parlimen itu.
“Jika dilakukan dengan ‘passion’ (kesungguhan) ia tidak akan rasa penat kerana saya memang suka bertemu masyarakat.
“Apabila ‘passion’, kita akan ‘energetik’ dan lupa penat sebab kita seronok dengan apa yang kita lakukan.
“Saya tak ada ambil jamu, tapi hanya ambil vitamin asas seperti multivitamin dan vitamin C untuk elak selsema.
“Satu lagi tips, saya terus lelap sekejap apabila dalam kereta kerana itu waktu untuk saya rehat sebelum bergerak ke program seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Kenduri Rakyat di Felda Sebertak, hari ini.
Dalam pada itu, Ismail Sabri yakin sokongan masyarakat FELDA dan Orang Asli kepada Barisan Nasional (BN) akan kekal padu.
Katanya, walaupun keyakinan itu tinggi namun ia bukan tiket untuk dia berasa selesa sepanjang tempoh berkempen. – Malaysiapost
#PRU15 #BN