PN janji beri komputer riba kepada semua guru jika menang PRU-15

PN janji beri komputer riba kepada semua guru jika menang PRU-15

PERIKATAN Nasional (PN) berjanji akan memberikan komputer riba kepada semua guru jika parti itu memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tawaran PN, Datuk Dr Radzi Jidin berkata kemudahan itu sebagai usaha meningkatkan kecekapan proses pembelajaran dan pengajaran (PdP) serta memantapkan sektor pendidikan negara.

“Semua guru kita akan disediakan komputer riba kerana teknologi digital banyak perkara boleh dimudahkan.

“Kalau kita buat dulu secara manual satu persatu mengambil masa, jadi kita bentuk satu sistem menyeluruh untuk kemudahan guru.

“Ini pertama kali dalam sejarah guru-guru akan disediakan dengan komputer riba bagi memudahkan PdP mereka,” katanya pada sesi Townhall sempena majlis pelancaran Tawaran PN Best di Shah Alam, malam tadi.

Jelasnya, walaupun guru sudah dilatih dalam konteks pendigitalan sepanjang pendemik Covid-19, tetapi tawaran itu membantu meningkatkan kecekapan proses PdP kepada mereka.

Selain itu, Radzi berkata sistem pendidikan di bawah PN juga akan bergerak lebih cekap dengan peningkatan kecekapan hubungan internet di sekolah.

“Sebelum ini di sekolah tiga tempat saja ada internet iaitu bilik guru, pejabat dan pusat sumber. Kalau kita menang membentuk kerajaan kita akan sambung seluruh kawasan sekolah dengan internet berkelajuan tinggi.. itu komitmen kita,” katanya.

Komen