Prestasi menteri PN tak memuaskan – Zahid

Prestasi menteri PN tak memuaskan – Zahid

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa menteri dari Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan prestasi tinggi semasa gabungan itu mentadbir kerajaan.

Beliau memberi contoh jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang disandang Datuk Seri Takiyuddin Hassan dari PAS.

“Mereka juga tidak berprestasi tinggi apabila diberikan peluang menjawat jawatan menteri tertentu seperti menteri perundangan hingga mengakibatkan YDP Agong dukacita apabila pembatalan Ordinan Darurat dibuat sebelum perkenan Baginda.

“Jauh berbeza dengan prestasi penggantinya dari Gabungan Parti Sarawak, menjadi menteri undang-undang yang membawakan pelbagai pembaharuan dalam masa singkat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Pada Julai tahun lalu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara berkata Seri Paduka Baginda amat dukacita kerana apa yang telah diperkenan dan dititah kepada Takiyuddin dan Peguam Negara, semasa majlis menghadap secara maya sebelum itu bahawa cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, tidak dilaksanakan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata rekod pentadbiran kerajaan negeri yang diperintah PN juga agak kurang mereka tonjolkan kerana kurang berprestasi.

Ia katanya berbeza berbanding prestasi pentadbiran kerajaan BN seperti Johor membuktikan tradisi pentadbiran yang cekap memberikan impak terhadap prestasi ekonomi kerajaan negeri tersebut.

“InsyaAllah BN akan meneruskan agenda politik sederhana, menawarkan politik yang diyakini melalui prestasi, rekod diyakini, kestabilan dan berterusan membina kemakmuran di tengah-tengah.

“Manakala lawan politik pula terus menggunakan politik fitnah bagi mengaburi kelemahan dan kegagalan mereka sendiri untuk mendapat sokongan.

“Yakinlah tiada tempat politik fitnah terutamanya sang penabur fitnah tersebut semakin terserlah kepalsuan agenda politik mereka yang ditolak oleh majoriti rakyat negara ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen