PRU15: Anwar yakin PH kuasai majoriti mudah

PRU15: Anwar yakin PH kuasai majoriti mudah

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menang dengan majoriti mudah walaupun berdepan banyak saingan sengit pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi PH itu berkata, ia berdasarkan pemerhatian dan maklumat yang dikumpul sepanjang mengadakan program turun padang pada PRU kali ini.

“Saya sudah berada di lapangan dan ia merupakan pertandingan sengit.

“Namun, kami mampu bergerak masuk ke kawasan pedalaman untuk mendapat majoriti mudah,” katanya dipetik Bloomberg, hari ini.

Menurut Anwar, PH memberi fokus untuk membanteras rasuah, selain memperkasa industri kecil dan sederhana di negara ini, berbanding hanya menumpukan kepada syarikat konglomerat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai tarikh mengundi PRU15.

PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara.

PH mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116).

Parti Warisan Sabah (Warisan) meletakkan 52 calon, Gabungan Parti Sarawak (31), PAS (22), Parti Rakyat Malaysia (16), Gabungan Rakyat Sabah (13), Parti Sarawak Bersatu (10), Putra (sembilan), DAP (lapan), Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (tujuh), Muda (enam), Parti Bangsa Malaysia (lima) dan Parti Bansa Dayak Sarawak (tiga).

Selain itu, Parti Bersatu Rakyat Sabah, Parti Sedar Rakyat Sarawak, Parti Sosialis Malaysia, Parti Perpaduan Rakyat Sabah, Parti Bumi Kenyalang dan Parti Utama Rakyat pula masing-masing mempunyai seorang calon kerusi Parlimen. – Malaysiapost

Komen