PRU15: Calon dalam edah boleh berkempen guna media sosial – Mufti Perlis
CALON wanita bertanding pilihan raya yang berada dalam tempoh edah akibat kematian suami tetap boleh berkempen di rumah sama ada melalui orang yang hadir atau menggunakan media sosial.
Mufti Perlis, Datuk Seri Dr Mohd Asri Zainul Abidin, berkata bagaimanapun calon wanita itu perlu menekankan larangan bersolek dan berhias yang disebutkan Rasulullah SAW.
“Maka kemunculannya dalam sosial media atau di talian atau siaran langsung hendaklah mengambil kira hal tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kenyataan tersebut bagi menjawab soalan orang ramai mengenai hukum calon wanita dalam tempoh edah kematian mengambil bahagian dalam kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Soalan tersebut bertanya mengenai calon di Perlis bagi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahida Zarik Khan dari Barisan Nasional yang masih dalam edah kematian suami.
Sementara itu, Mohd Asri berkata wanita dalam edah kematian suami boleh keluar rumah untuk keperluan dirinya yang tidak dapat dilunaskan melainkan terpaksa keluar rumah.
“Ini khususnya untuk urusan kerja bagi yang jika dia tidak keluar akan menggugat pendapatannya bagi meneruskan kehidupan. Begitu untuk perubatan dan keselamatan diri.
“Demikian juga urusan yang memerlukan hanya dia sahaja yang pihak lain tidak dapat uruskan yang mana jika dia tidak melakukannya memberikan kesusahan kepada pihak lain.
“Para fuqaha menyebut jika dia keluar, hendaklah dia pulang bermalam di rumahnya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Asri menerangkan calon wanita dalam edah kematian tidak boleh keluar bait al-zaujiyyah (rumah kehidupan suami isteri) atau rumah yang wanita itu menetap jika tiada rumah perkahwinan untuk berkempen pilihan raya.
“Dia tidak boleh keluar daripadanya tanpa keperluan dalam meneruskan kehidupannya. Keluar kempen pilihanraya bukan keperluan hidup yang jika dia tidak keluar maka hidupnya terjejas,” ujarnya lagi.
Mengulas lanjut, Mohd Asri memberitahu calon wanita Parlimen Padang Besar itu sudah menghubunginya dan memaklumkan telah patuhi hukum hakam syarak yang berkaitan dengan perkara tersebut.
Sebelum ini, Zahida dilaporkan berkata akan menggunakan media sosial sebagai platfom utama berkempen pada PRU15.
Ia kerana Ketua Puteri Umno itu masih dalam edah selepas kematian suami pada 20 Ogos lalu dan perlu menghabiskan tempoh tersebut selama empat bulan 10 hari sebagaimana yang ditetapkan hukum Islam. – Malaysiapost