Rafizi perlu telus isytihar aset dalam Invoke – Abdul Latiff

Rafizi perlu telus isytihar aset dalam Invoke – Abdul Latiff

SEORANG pemimpin Bersatu mempersoal deklarasi aset milik Rafizi Ramli yang menunjukkan Timbalan Presiden PKR itu mempunyai kekayaan hampir RM17 juta melalui pegangan sahamnya dalam Invoke Invoke Sdn Bhd.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Abdul Latiff Ahmad, berkata penubuhan Invoke adalah inisiatif kononnya untuk pilihan raya adil dan bebas yang diasaskan Rafizi beberapa tahun lalu.

“Ia bergantung kepada sokongan dan sambutan daripada rakyat biasa Malaysia.

“Yang menimbulkan persoalan adalah bahawa pada akhir Disember 2021, Invoke mengalami kerugian dan aset bersihnya adalah -RM4.7 juta.

“Manakala dalam deklarasi yang baru dikeluarkan oleh Rafizi sehingga pada 31 Oktober 2022, nilainya melonjak kepada RM17 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Latiff berkata, demi ketelusan yang selalu disebut Rafizi, rakyat berhak megetahui sebab kenaikan nilai yang begitu mendadak dalam Invoke.

Katanya, Rafizi juga pernah mengeluarkan kenyataan bahawa saham-saham di dalam Invoke akan diagihkan kepada “kakitangan Invoke yang berkorban selama ini”.

Ujarnya, kenyataan itu dinyatakan Rafizi sebagai menjawab persoalan Datuk Rizal Mansor yang juga bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak samada duit yang dikutip masuk kepada poketnya sendiri.

Tambah Abdul Latiff, carian terkini di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati terdapat hanya 14 pemegang syer di dalam Invoke.

Kata beliau, pemegang syer terbesar kedua Invoke adalah taikun perniagaan besar bernama Lee Choo Boo dan yang ketiga terbesar ialah ahli Parlimen PKR Wong Chen.

“Lain-lain pemegang syer termasuk adalah Ahli Parlimen PKR dan sahabat karib, Akmal Nasrullah dan ahli politik PKR Onn Abu Bakar.

“Selain daripada itu juga sebuah syarikat kejuruteraan dan seorang warganegara asing bernama Hassan Mia Sonday. Lee Choo Boo pula adalah CEO Itramas Corporation.

“Memandangkan pemegang-pemegang saham seperti di atas, dimanakah janji yang dibuat pada tahun 2017 untuk mengagihkan saham-saham tersebut kepada kakitangan Invoke,” soalnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff meminta Rafizi menjawab sama ada kekayaan berjumlah RM17 juta nenerusi Invoke digunakan untuk manfaat rakyat.

Sebelum ini, Rafizi tampil mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.

Beliau berkata, pengisytiharan harta dibuat mengikut Akta Akuan Berkanun 1960 susulan syarat PKR supaya calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk berbuat demikian.

Kebanyakan asetnya diperoleh daripada pelaburan saham dalam Invoke Sdn Bhd, syarikat tinjauan awam yang diasaskannya. – Malaysiapost

Kredit foto: Malaysia Dateline

Komen