Rakyat kembali sengsara jika pilih PN, dakwa Rafizi

Rakyat kembali sengsara jika pilih PN, dakwa Rafizi

TIMBALAN Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa kesengsaraan selama 18 bulan di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh kembali jika rakyat mengundi parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin gagal mentadbir negara dengan baik terutama ketika berdepan Covid-19.

“Tempoh pentadbiran PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh paling sengsara dan paling tidak stabil. Malah, Muhyiddin juga menjadi Perdana Menteri paling pendek.

“Jadi, saya menyeru pengundi agar tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan itu kerana mengundi mereka sama seperti mengembalikan kesengsaraan kepada negara,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, beliau menyifatkan manifesto PN yang dilancarkan semalam sebagai gula-gula pilihan raya untuk memikat pengundi muda termasuk pengurangan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Rafizi, mustahil tawaran baharu itu akan ditunaikan sedangkan tiada sebarang penyelesaian menyeluruh dibuat sepanjang empat tahun kerajaan PN mengawal hala tuju tabung pendidikan berkenaan.

“Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta-merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi tabung itu, malangnya ia tidak berlaku,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rafizi menyelar pihak yang mengkritiknya berkaitan syarikat Invoke Sdn Bhd (Invoke) dan menyifatkan mereka tidak faham penyata kewangan.

“Invoke mempunyai dua anak syarikat dan penilaian syarikat juga merangkumi dua syarikat berkenaan, yang mana sudah dijual.

“Bagaimanapun, Invoke secara bersendirian mencatatkan keuntungan sejak 2020, setahun selepas ditubuhkan,” katanya.

Rafizi berkata, ia menarik minat pelabur, sekali gus meningkatkan nilai saham Invoke pada 2022.

Awal hari ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Abdul Latiff Ahmad, menggesa Rafizi menjelaskan lonjakan nilai Invoke.

Latiff mendakwa, sehingga Disember lalu, Invoke mengalami kerugian dan aset bersihnya adalah RM4.7 juta. – Malaysiapost

Kredit foto: Astro awani

Komen