Rumah lima pintu di Kampung Baru musnah terbakar
SEBUAH kediaman lima pintu hangus dalam kebakaran di Jalan Raja Muda Musa di Kampung Baru, Kuala Lumpur malam tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Menurutnya, kediaman terletak berhampiran pintu gerbang Kampung Baru itu terbakar hampir 90 peratus.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.19 malam dan sepasukan 36 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa dengan bantuan BBP Sentul, BBP Jalan Tun Razak, BBP Hang Tuah dikerah ke lokasi kejadian.
“Ketika bomba tiba di lokasi, kediaman berkeluasan 7.4 x 3.7 meter persegi terbakar 90 peratus,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Dalam pada itu, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.
Terdahulu, tular video di media sosial berdurasi lima saat memaparkan sebuah kediaman sedang marak terbakar di Kampung Baru. – Malaysiapost