Shahidan, Ismail belum sertai PAS
DUA bekas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) bagi kouta PAS belum lagi menyertai parti Islam itu.
Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, berkata ia membabitkan calon PN bagi Parlimen Arau di Perlis dan Maran di Pahang.
“Kita mengeluarkan watikah membenarkan mereka menggunakan logo PN atas kouta PAS.
“Mereka setakat ini belum menjadi ahli PAS lagi. Tapi dalam perlembagaan undang-undang pilihan raya ia tidak semestinya menjadi ahli parti,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu dua penyandang kerusi Parlimen iaitu Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Maran, Datuk Ismail Abd Mutalib yang juga bekas wakil rakyat Umno bertanding mewakili PN atas kouta kerusi PAS.
Sementara itu Takiyuddin berkata tiada perjanjian khusus antara PAS dengan dua bekas wakil rakyat BN terbabit.
“Kita dalam PAS ini perjanjian kita dengan Allah SWT. Perjanjian kita untuk tidak mengkhianati amanah dan sebagainya,” katanya lagi. – Malaysiapost