Sultanah Terengganu fail rayuan kes saman fitnah

Sultanah Terengganu fail rayuan kes saman fitnah

SULTANAH Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah baginda terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua yang lain berhubung kenyataan fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’.

Bernama melaporkan, Peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay yang mewakili Sultanah Nur Zahirah memaklumkan, rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Beliau berkata, notis rayuan itu sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin serta pencetak Vinlin Press Sdn Bhd.

Pada 31 Oktober lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Dr John Lee Kien How @ Mohd Johan, menolak tuntutan saman Sultanah Nur Zahirah selepas mendapati tiada kenyataan memfitnah dalam buku berkenaan, dan memerintahkan kos berjumlah RM80,000 dibayar kepada ketiga-tiga defendan.

Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah, serta mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA), yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Sultanah Nur Zahirah juga mendakwa kenyataan itu membawa maksud baginda membantu ahli perniagaan dalam buruan Jho Low atau Low Taek Jho menjadi penasihat TIA.

Dalam penyataan pembelaan, ketiga-tiga defendan menafikan ada membuat tuduhan bahawa plaintif terbabit dengan amalan rasuah.

Rewcastle Brown juga mendakwa Sarawak Report tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terbabit dalam konspirasi membabitkan Jho Low dan tidak pernah mencadangkan bahawa plaintif terbabit dalam pentadbiran kerajaan berkaitan urusan 1MDB. – Malaysiapost

Komen