Tawaran ‘PN Best’ adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat – Muhyiddin

Tawaran ‘PN Best’ adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat – Muhyiddin

PERIKATAN Nasional (PN) berjanji untuk mengotakan setiap tawaran yang dikemukakan dalam ‘PN Best’ kerana ia adalah manifestasi kehendak dan impian rakyat.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu juga akan menjadi wadah dalam membawa harapan rakyat dan negara ke arah Malaysia yang lebih gemilang.

“Tawaran PN ini amat realistik kerana ia bukannya sekadar janji-janji pilihan raya tetapi boleh dan mampu dilaksanakan oleh PN sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan pada 19 November ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, mesej teras 234 tawaran PN di bawah 12 tunjang dan 30 pendekatan ini adalah jelas untuk mempertahankan Keluhuran Perlembagaan, menjunjung Islam sebagai agama Persekutuan dan melindungi hak semua kaum, demi manfaat rakyat dan negara.

“Antara tawaran utama ialah menyediakan Tabung Khas Galakan Pelaburan RM5 bilion ke arah menjadikan Malaysia paksi industri di Asia Tenggara.

“Dana Khas Pelancongan RM1 bilion dan sejuta pekerjaan berpendapatan tinggi untuk merancakkan ekonomi,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua tawaran ini termasuk banyak insentif lain untuk mensejahterakan rakyat, boleh diakses di pautan http://www.pnbest.my.

PN mengumumkan tawaran ‘PN Best’ sempena Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bertemakan ‘Prihatin, Bersih dan Stabil: Malaysia Gemilang’ yang dilancarkan di Shah Alam, malam tadi. – Malaysiapost

Komen