Tun M orang pertama demam bila saya jadi PM 20 November ini – Anwar

Tun M orang pertama demam bila saya jadi PM 20 November ini – Anwar

TUN Dr Mahathir Mohamad akan menjadi orang pertama ‘demam’ apabila beliau diangkat sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian pada ceramah Jelajah Mega Harapan di pekarangan Ekspo Seberang Jaya, di Pulau Pinang, malam tadi, lapor Utusan Malaysia.

Bagaimanapun menurut Anwar, beliau sentiasa mendoakan kesihatan bekas Perdana Menteri itu yang pernah menjadi sekutu PH pada PRU14 lalu.

“Beliau demam kalau Anwar naik jadi PM pada 20 November nanti. Bagaimanapun, saya tetap mendoakan beliau sentiasa sihat,” katanya.

Sementara itu, Anwar yakin PH dapat memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen sekali gus membentuk kerajaan pada PRU15.

Katanya, beliau mengambil risiko besar bertanding di kerusi Parlimen Tambun yang mana langkah itu dibuat bagi memastikan kemenangan dapat berpihak kepada PH.

“Di Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, kubu-kubu kita kekal kuat dan saya akan bawa obor menyerang Perak untuk meluaskan kuasa gabungan parti kita.

“Insya-Allah, kita dapat sekurang-kurangnya 112 kerusi tetapi kubu kita di Permatang Pauh, Batu Kawan dan Nibong Tebal kena kekal (menang).

“Dua kawasan yang tidak berhasil (Kepala Batas dan Tasek Gelugor) mesti kita tawan bagi membolehkan kita jadi pemerintah dan boleh saya mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 20 November nanti,” katanya. – Malaysiapost

Komen