Umno gugur 4 ahli termasuk Shahidan Kassim
EMPAT ahli Umno yang bertindak bertanding mewakili parti lawan dan menjadi calon Bebas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), digugurkan keahliannya daripada parti, hari ini.
Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata mereka ialah penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Seri Ismail Abd Muttalib (Parlimen Maran), yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata, turut digugurkan ialah Datuk Zahidi Zainul Abidin yang bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Padang Besar dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, selain Datuk Azhar Ahmad bagi DUN Kuala Perlis.
“Umno ingin memaklumkan pengguguran keahlian empat ahli parti pada PRU15 selepas penamaan calon mereka diterima Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Sabtu lalu.
“Dengan pengguguran keahlian ini, jawatan mereka di peringkat Umno Bahagian akan dipangku oleh Timbalan Ketua Umno Bahagian yang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad menjelaskan, pengguguran keahlian keempat-empat mereka itu selaras dengan Fasal 20.11 Perlembagaan Umno.
Menurutnya, Perlembagaan itu jelas menyebut, seseorang ahli yang menang bertanding dan meninggalkan parti atau bertanding sebagai calon Bebas atau parti lawan dalam pilihan raya akan gugur keahlian dengan sendirinya.
“Beberapa ahli lain, termasuk mereka yang dilihat mengiringi empat calon berkenaan semasa proses penamaan calon yang boleh disifatkan sebagai menyokong calon parti lawan kini sedang dalam proses siasatan sebelum tindakan lanjut diambil,” katanya. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Shahidan Kassim