Umrah percuma untuk usahawan Makmur Gold
SERAMAI 38 usahawan emas Makmur Gold menerima insentif umrah selepas berjaya memenuhi sasaran jualan emas ditetapkan.
Mereka yang berjaya menjual emas minimum tiga kilogram sepanjang tahun lalu, dirai dalam majlis khas di Kuantan, petang semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood berkata, insentif itu adalah sebagai tanda penghargaan kepada usahawan mereka yang tetap setia bersama syarikat.
“Kita semua terkesan sejak dua tahun lalu akibat Covid-19 dan mereka (usahawan) inilah yang terus berusaha memastikan Makmur Gold mendapat kepercayaan dan pilihan pelanggan.
“Pemberian insentif ini akan dijadikan acara tahunan supaya dapat memberikan semangat dan galakan kepada lebih 2,000 usahawan kita di seluruh negara,” katanya kepada media selepas majlis itu.
Dalam pada itu, Pengerusi Koperasi Makmur Malaysia Berhad (KO-MAKMUR), Khairul Azam Awang berkata, cawangan Makmur Gold di Putrajaya akan beroperasi awal bulan depan.
Pembukaan cawangan terbaru milik koperasi itu menjadikan jumlah keseluruhan cawangan beroperasi di seluruh negara ketika ini adalah sebanyak 14 cawangan.
“Kita masih berada di landasan yang betul dan yakin dapat membuka 30 cawangan dalam tempoh tiga tahun seperti disasarkan sebelum ini dapat dicapai.
“Sokongan dan kepercayaan berterusan daripada pelanggan menjadi pendorong utama KO-MAKMUR untuk terus menawarkan produk emas berkualiti pada harga paling bersesuaian,” katanya. – Malaysiapost