Zuraida yakin rekod prestasi beri kelebihan di Ampang

Zuraida yakin rekod prestasi beri kelebihan di Ampang

PENYANDANG kerusi Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yakin rekod prestasinya dalam berkhidmat kepada pengundi di kawasan itu akan memberinya kelebihan berbanding calon lain.

Beliau berkata, walaupun berdepan lapan calon lain, Zuraida percaya pengorbanan serta dedikasi selama 15 tahun di Ampang akan memihak kepadanya pada November 19 ini.

“Saya tahu ini pertarungan yang sukar. Malah paling mencabar buat saya. Pertama, saya akan berdepan dengan lapan pencabar lain, termasuk tiga calon bebas.

“Kedua, saya bertanding di bawah parti baharu, parti yang baru ditubuhkan,” katanya ketika melawat pengundi hari ini.

Zuraida bagaimanapun berkata pengundi hari ini lebih matang dan berpengetahuan luas mengenai isu-isu semasa berbanding tahun-tahun sebelum ini.

“Walaupun saya pernah berada di Ampang dan memahami isu-isu di sana, saya tidak akan ambil jalan mudah. Saya tetap akan mengambil masa untuk meninjau dan mengenal pasti semua isu yang memberi kesan kepada penduduk di sini.

“Ini termasuk isu-isu tempatan seperti pengangkutan awam, infrastruktur, banjir dan kebajikan. Selain itu saya juga akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Ampang yang merangkumi aspek pekerjaan, peluang perniagaan, pendidikan dan juga pembangunan kemahiran,” katanya.

Katanya, beliau telah mendapatkan banyak maklum balas dari pengundinya dan telah membentuk ikatan akrab dengan mereka.

“Kami seperti sebuah keluarga di sini dan sebab itu, saya yakin walaupun bertanding di bawah logo Parti Bangsa Malaysia (PBM), ia tidak akan memberi kesan negatif kepada saya,” katanya.

Mengenai jentera pilihan raya di Ampang, Zuraida berkata terdapat hampir 5,000 orang sukarelawan di lapangan sedang giat mendekati seramai mungkin pengundi.

Beliau juga berkata gembira kerana berdepan lima calon wanita dan muda pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Walaupun mereka mungkin pencabar saya, saya gembira kerana lebih ramai wanita tampil ke hadapan di PRU ini.

“Saya hanya berharap dan berdoa agar semua calon, bukan sahaja di Ampang, bersaing secara mesra, bersih dan adil. Walaupun saya mungkin daripada generasi lama di sini, saya percaya rekod prestasi saya akan membantu saya,” katanya.

Zuraida bakal bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN) Ivone Low Yi Wen, Perikatan Nasional (PN) Sasha Lyna Abdul Latif, Bryan Lai Wai Chong dari (Warisan), Gerakan Tanah Air (GTA) Nurul Ashikin Mabahwi, Pakatan Harapan (PH) Rodziah Ismail.

Tiga calon bebas M. Raveendran, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, dan Tan Hua Meng, yang sebelum ini bertanding di bawah Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada PRU14. – Malaysiapost

Komen