2 lelaki Nepal ditahan cederakan penguat kuasa kempen PRU15

2 lelaki Nepal ditahan cederakan penguat kuasa kempen PRU15

DUA lelaki warga Nepal ditahan kerana disyaki mencederakan seorang pegawai Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya dalam insiden di Jalan SS2/63, Petaling Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata kejadian berlaku pada 11.15 malam ketika sepasukan penguat kuasa kempen sedang membuat pemeriksaan bendera parti politik di sekitar kawasan berkenaan.

Beliau berkata pasukan itu kemudian terdengar jeritan orang awam yang meminta bantuan dan mendapati empat lelaki warga Nepal sedang bergaduh sesama sendiri.

“Ketika cuba untuk meleraikan pergaduhan, seorang pegawai telah diserang dua lelaki berkenaan sehingga mengakibatkan kecederaan di bahagian leher. 

“Satu alat komunikasi mudah alih milik pasukan itu turut mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek berusia awal 20-an direman sehingga Jumaat ini dan disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan (KK) kerana gaduh di tempat awam.

Beliau berkata, kes turut disiasat mengikut Seksyen 353 KK kerana menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam menjalankan kewajipan, Seksyen 427 KK kerana khianat dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (tidak memiliki dokumen sah). – Malaysiapost

Komen