Anggota polis terbunuh selepas bertugas pantau PRU15

Anggota polis terbunuh selepas bertugas pantau PRU15

SEORANG anggota polis maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda milik Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel), tengah malam tadi.

Dalam kejadian di Kilometer (KM) 5.3 Jambatan Pulau Pinang itu, Koperal Abu Talib Sarif, 33, dikatakan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Difahamkan, kemalangan itu berlaku apabila mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang dipercayai terbabas sebelum melanggar kenderaan jenis Toyota Hilux.

Mangsa dikatakan baru selesai tugas pemantau Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Seberang Perai Tengah dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Perumahan Polis Marin Batu Uban.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) Pulau Pinang dalam kenyataan di Facebook mengucapkan takziah kepada keluarga Abu Talib dan memaklumkan jenazah akan dikebumikan di Sungai Petani, Kedah, petang ini.

Abu Talib baru ditugaskan di Bahagian Siasatan Khas D9 di IPK Pulau Pinang pada Oktober lalu. – Malaysiapost

Komen