Annuar Musa bantu kempen KJ, Tengku Zafrul di Sungai Buloh
WALAUPUN digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Tan Sri Annuar Musa tetap bersemangat turun padang membantu kempen gabungan itu.
Selepas Kelantan, bekas penyandang kerusi Parlimen Ketereh itu hari ini turun ke Selangor berkenpen untuk dua rakan Kabinet dalam kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Pagi sebelah pagi ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia itu turun ke kawasan Parlimen Sungai Buloh yang ditandingi Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Berdasarkan perkongsian di Facebooknya, Annuar pagi tadi berada di Saujana Utama dalam satu program yang turut dihadiri Khairy.
Difahamkan beliau kemudian akan menyertai program kempen Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang menjadi calon di Parlimen Kuala Selangor.
Terdahulu Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar yang turut digugurkan sebagai calon, memaklumkan Annuar akan membantu kempen di Selangor hari ini.
“Malam tadi sempat bertemu dan berbincang dgn TS Annuar Musa untuk bantu berkempen di Selangor.
“Esok (hari ini) TS Annuar Musa setuju untuk turun berkempen di Sg Buloh dan Kuala Selangor,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya. – Malaysiapost