ATM, Rela bantu polis jika banjir ketika PRU-15

ATM, Rela bantu polis jika banjir ketika PRU-15

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan pelbagai agensi lain akan digerakkan bagi membantu polis sekiranya berlaku bencana banjir ketika Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata bantuan itu diperlukan kerana sebahagian besar kekuatan polis telah dikhususkan untuk PRU-15 di mana kira-kira 80,000 anggota polis digerakkan bagi menghadapi pilihan raya.

“Jadi kita telah mengarahkan pihak Rela untuk bersama membantu namun masih tidak cukup… saya turut minta bantuan daripada anggota tentera dan beberapa agensi lain sekiranya banjir berlaku ketika PRU-15.

“Maklum sahajalah bila banjir berlaku, Ketua Polis Daerah adalah pengarah kawasan dan pada masa sama, mereka terpaksa menjaga keselamatan ketika pilihan raya,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau yang calon Bersatu di Parlimen Larut berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan kerajaan jika berlaku bencana itu ketika PRU-15 berikutan beberapa kawasan telah pun mengalami banjir ketika ini.

Setiausaha Agung PN itu juga berkata, beliau meminta polis agar sentiasa bersiap siaga jika berlaku banjir ketika PRU-15 untuk menjaga keselamatan rakyat.

Komen