Beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat

Beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat

HUJAN lebat sejak 4 petang tadi menyebabkan beberapa lokasi di Shah Alam dilanda banjir kilat.

Antara kawasan terjejas termasuklah Taman Sri Muda, Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 32, Seksyen 36, Bukit Naga, Alam Impian dan Bukit Jelutong.

Warganet berkongsi gambar dan video di media sosial menunjukkan kawasan dilanda banjir. 

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dalam kenyataan petang tadi, menasihatkan penduduk di kawasan Taman Sri Muda meletakkan kenderaan mereka di kawasan tinggi.

“Tempat letak kereta Pasar Moden Sri Muda dibuka untuk orang ramai meletakan kenderaan.

“Sebarang kecemasan atau bantuan segera akibat banjir di Shah Alam sila hubungi Pasukan PANTAS di talian 03-55105811,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata longkang tersumbat dipercayai punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat petang tadi.

“Jalan di kawasan perumahan Bukit Naga dinaiki air sehingga paras lutut dipercayai akibat longkang tersumbat. Jalan Kota Kemuning dan Seksyen 17 hingga Seksyen 24 juga dinaiki air.

“Bomba turut memantau beberapa jalan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, iaitu Jalan Waja 25/1; Jalan Mahir; Jalan Makmur; Jalan Harapan dan mendapati tiada risiko banjir. Pam kunci air juga beroperasi,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada melibatkan empat negeri bermula Isnin sehingga 11 November. – Malaysiapost

Komen