BN tak campur urusan mahkamah jika menang PRU – Tok Mat

BN tak campur urusan mahkamah jika menang PRU – Tok Mat

BARISAN Nasional (BN) tidak akan sesekali mencampuri urusan mahkamah jika memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), 19 November ini.

Timbalan Pengerusi BN Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan dakwaan mengatakan kerajaan BN akan membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak daripada penjara selain menutup salah laku membabitkan pemimpin Umno adalah tidak berasas.

“Cuba lihat rekod BN, sewaktu memerintah dulu ramai pemimpin parti yang dipenjarakan, Datuk Harun Idris, Datuk Mokhtar Hashim, Datuk Seri Khir Toyo (bekas Menteri Besar Selangor).

“Walaupun kes mereka sama seperti yang berlaku ketika Pakatan Harapan (PH) apabila menang saja banyak kes membabitkan pemimpin mereka digugurkan atau ditarik balik (pertuduhan di mahkamah).

“Jadi, siapa yang salah guna proses undang-undang (mahkamah). Di zaman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang, Datuk (Seri) Najib masuk penjara dan Datuk Seri Zahid Hamidi (Pengerusi BN), kesnya masih berjalan dan tidak ditarik balik,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Beliau turut berharap orang ramai tidak terkeliru dan mudah percaya dengan dakyah serta propaganda pemimpin berkenaan yang cuba mengelirukan pemikiran rakyat khususnya orang Melayu.

“Saya berharap orang ramai tidak terkeliru dengan tindakan pemimpin pembangkang yang sengaja buat dakyah, sebaliknya berfikir secara matang.

“Harus diingat, selepas mereka (pemimpin pembangkang) gagal menunaikan segala janji yang dibuat selepas menang PRU-14 dulu, kini mereka mencari modal menyerang dan mencari isu-isu peribadi pemimpin Umno tertentu,” katanya.

Komen