Calon PN didakwa fitnah Anwar disiasat – polis

Calon PN didakwa fitnah Anwar disiasat – polis

POLIS menyiasat calon Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria, kerana didakwa memberi ucapan berunsur fitnah dan berniat jahat terhadap Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kes itu antara empat kertas siasatan yang dibuka, termasuk penahanan dua lelaki di Perak, Kedah dan Terengganu, semalam kerana kesalahan berkaitan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali, berkata Razman disiasat selepas seorang pengadu menerima video ucapan calon berkenaan di Tapak Pasar Hari Tebuk Panchor, Gunung Semanggol, Perak.

Hazani berkata, pihaknya turut membuka kertas siasatan membabitkan isu dua kain rentang yang digantung di Simpang Tiga, Tol Chukai, Kemaman.

Katanya, kain rentang itu didakwa bertujuan memalukan dan menghina calon BN Parlimen Kemaman, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Said.

“Kain rentang itu memaparkan gambar calon berkenaan dengan perkataan cabul kehormatan.

“Selain itu, kita tahan seorang lelaki bagi membantu siasatan dakwaan membakar khemah pusat mengundi di Tapak Majlis Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Taman Cili, Lunas dan mencabut serta membuang bendera komponen Barisan Nasional (BN) ke dalam longkang.

“Seorang lagi suspek pula mengugut akan menumbuk seorang pengadu jika terjumpanya di luar atau semasa berkempen. Ia selepas pengadu menerima panggilan telefon daripada suspek, yang tidak berpuas hati pengadu dilantik ketua pusat daerah mengundi cawangan Pulau Tuba.

“Permohonan reman terhadap mereka dibuat, hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semua kes disiasat mengikut Seksyen 4A dan 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, selain Seksyen 427, 435, 506, 500 dan 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Hazani yang juga Pengarah Operasi PRU15 Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata 72 ceramah berlangsung tanpa permit, semalam, dengan yang tertinggi direkodkan di Negeri Sembilan iaitu 21 ceramah, disusuli Kuala Lumpur (15), Perak (14), Selangor (13) dan Kedah (lima).

Sementara itu, sebanyak 997 ceramah berlangsung dengan permit, membabitkan 193 ceramah di Sabah, Sarawak (144), Johor (125), Selangor (113) dan Perak (102). – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Haji Razman Zakaria

Komen