Ikmal Hisham minta Rafizi henti buat fitnah
TIMBALAN Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz menyifatkan dakwaan berterusan yang dibuat Rafizi Ramli bahawa beliau terbabit dalam Self-Propelled Howitzer (SPH) Tentera Darat Malaysia sebagai cubaan menimbulkan persepsi negatif kepada calon Perikatan Nasional (PN).
Beliau berkata walaupun berulang kali menafikan penglibatan itu serta turut membuat laporan polis pada 7 Oktober lalu, Timbalan Presiden PKR berkenaan masih galak membuat kenyataan fitnah berkenaan.
“Percayalah, rakyat Malaysia tidak gemar kepada politik benci-membenci, apatah lagi fitnah amat jijik berdasarkan imaginasi dan rekaan saudara Rafizi sendiri.
“Hayatilah Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 191 yang bermaksud, ‘Dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan’. Kenyataan media tersebut turut menyatakan bahawa saya adalah mantan Timbalan Menteri Pertahanan.
“Untuk pengetahuan saudara Rafizi, pada hari ini saya masih lagi caretaker Timbalan Menteri Pertahanan dan jelas perkara asas seperti jawatan saya pun saudara Rafizi tersilap. Sekiranya perkara asas tersebut secara terangan tersasar, maka sukarlah rakyat percaya pembohongan dan fitnah saudara Rafizi tohmahkan kepada saya,” katanya menerusi kenyataan.
Ikmal Hisham yang juga calon PN bagi kerusi Parlimen Tanah Merah berkata, perolehan SPH adalah satu daripada pelbagai perolehan perbekalan atau aset diperlukan Angkatan Tentera Malaysia bagi tujuan memantapkan pertahanan negara.
Katanya, memandangkan nilai perolehan tersebut agak besar, maka adalah menarik untuk mengaitkan ahli politik dengan isu terbabit bagi memberi gambaran buruk kepada masyarakat.
Ikmal Hisham berkata sangat menyedihkan apabila dengan mudah Rafizi membuat tanggapan bahawa sebagai menteri, beliau amat berkuasa mempengaruhi perolehan di Kementerian Pertahanan, seolah-olah pegawainya dan ATM, melakukan kerja secara semberono tanpa perlu mengikut peraturan.
“Kenyataan fitnah seperti ini adalah suatu penghinaan bagi pegawai kerajaan yang menjalankan tugas dengan baik dan sentiasa berusaha, memastikan kesiap siagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
“Semua perolehan aset di Kementerian Pertahanan perlu melalui proses kerja ketat dan mesti dipersetujui terlebih dahulu oleh end-user, iaitu pihak TDM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Tiada sesiapapun boleh mempengaruhi kebijaksanaan end-user dalam mendapatkan aset terbaik untuk pertahanan negara,” katanya.