Jalinan Rakyat Wanita Umno sedia pertahan Kepala Batas – Reezal Merican
CALON Barisan Nasional (BN) Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memerlukan sokongan penuh seluruh jentera Umno bagi mempertahankan kerusi parlimen tersebut.
Reezal Merican berkata, beliau amat berbesar hati melihat dokongan yang diberikan Jalinan Rakyat diketuai Wanita Umno Kepala Batas, Zainab Bakar.
“Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).. Mana mungkin saya berjuang seorang diri dalam mempertahankan Barisan Nasional di Kepala Batas ini.
“Jalinan Rakyat ini, dari dahulu lagi sememangnya tunjang kekuatan jentera pilihan raya Barisan Nasional.

“Bagi lah mana-mana lorong, ceruk, pinggir dan kawasan, pasti Jalinan Rakyat dahulu yang sampai, menyantuni masyarakat tanpa lelah, tanpa jemu,” katanya dalam hantaran Facebook.
Reezal Meerican berkata, dengan perancangan rapi dan gerak kerja yang jitu, Jalinan Rakyat Wanita Umno Kepala Batas pasti menjadi komponen penting dalam memacu kemenangan di parlimen itu.

“Undi untuk kestabilan, undi untuk kemakmuran, undi Demi Kepala Batas,” ujarnya.
PRU15 menyaksikan pertembungan empat penjuru di Parlimen Kepala Batas antara BN, Perikatan Nasional (PN), Gerakan Tanah Air (GTA), dan Pakatan Harapan (PH).
Reezal Merican bersaing dengan Dr Siti Mastura Mohamad (PN), Hamidi Abu Hassan (GTA), dan Danial Abdul Majeed (PH).
Pada PRU14 Reezal Merican memenangi kerusi itu dengan majoriti 4,736 undi. – Malaysiapost