Jamal Abdillah mohon maaf kepada rakyat Malaysia, DAP

Jamal Abdillah mohon maaf kepada rakyat Malaysia, DAP

PENYANYI popular, Datuk Jamal Abdillah meminta maaf kepada rakyat Malaysia dan DAP berhubung kenyataannya dalam video aplikasi TikTok yang tular, sejak beberapa hari lalu.

Difahamkan, menerusi video TikTok itu, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu berpesan supaya tidak mengundi DAP berikutan beberapa isu termasuk laungan azan dan sekolah tahfiz yang didakwa pernah ditimbulkan parti itu.

“Kepada peminat dan rakyat Malaysia yang mengikuti video TikTok, saya sebenarnya mendengar pandangan mengenai isu yang saya sebutkan.

“Dengan rasa rendah diri, saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ini kerana saya ‘spin’ perkara ini dalam keadaan saya tidak mengetahui. Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu perkara seumpama ini berlaku,” katanya dalam video dimuat naik di Twitter.

Dalam video sama, Jamal Abdillah turut memohon maaf khususnya kepada DAP atas kesilapannya mengeluarkan kenyataan.

Penyanyi berusia 63 tahun itu berkongsi, apa yang disebutkan dalam video TikTok itu pernah tular suatu ketika dahulu.

“Saya buat video, tanpa berpengetahuan dalam politik. Ini kerana saya bimbang terhadap generasi akan datang.

“Tidak sepatutnya buat video ini. Bagaimanapun, saya harap peminat bersama mempertimbang dan menilai adakah benar apa yang saya cakap.

“Semoga dengan pencerahan ini tiada lagi tuduhan saya buat fitnah. Ini kerana isu pernah tular empat, lima tahun lalu,” jelasnya. – Malaysiapost

Komen