‘Jangan perdaya, rendahkan rakyat demi mandat PRU15’ – Anwar

‘Jangan perdaya, rendahkan rakyat demi mandat PRU15’ – Anwar

RAKYAT harus menolak pemimpin angkuh dan sombong yang tidak memikirkan nasib rakyat yang semakin melarat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyeru rakyat untuk sama-sama bangkit bagi memastikan negara ditadbir sebuah kerajaan yang komited merencana masa hadapan yang lebih baik.

“Jangan cuba memperdayakan dan merendahkan kebijaksanaan rakyat dengan menjanjikan kesenangan yang sementara walhal isu pokok tidak cuba ditangani semasa gerombolan ini memerintah.

“Sebagai contohnya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dinyatakan PN.

“Ingin saya jelaskan bahawa itu bukan wang kerajaan sebaliknya wang rakyat bagi tujuan simpanan masa depan dan ia telah pun diberikan sebelum ini,” katanya menerusi Facebook.

Calon PH kerusi Parlimen Tambun itu berkata, tumpuan yang harus diberikan sekarang adalah untuk memulihkan semula ekonomi negara serta menyelesaikan isu rakyat yang semakin melarat.

“Usaha sekarang adalah untuk pulihkan ekonomi yang sudah rosak, turunkan harga barang, berusaha untuk meningkatkan pelaburan asing serta menyelesaikan isu kesenjangan, pengangguran dan kemiskinan yang melarat.

“Saya mohon kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama bangkit bagi memastikan negara ini ditadbir oleh kerajaan yang benar-benar komited dan tidak bankrap idea dan rencana untuk masa depan,” katanya.

Semalam, Anwar menempelak cadangan Perikatan Nasional untuk menilai semula pengeluaran KWSP secara bersasar jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

Beliau berkata, janji berkenaan tidak realistik memandangkan KWSP adalah duit rakyat dan menyifatkan gabungan itu ketandusan modal berkempen bagi mendapatkan mandat PRU15. – Malaysiapost

Komen