‘Kalau ada bukti lapor SPRM, jangan buat fitnah’ – Tuan Ibrahim tegur Rafizi
“SAYA nak tegaskan saya tidak pernah luluskan projek dalam tempuh kerajaan sementara,” kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berhubung status kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion.
Malah, Tuan Ibrahim menyarankan supaya Rafizi membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sekiranya mempunyai bukti berhubung dakwaan berkenaan.
“Mana boleh lulus peruntukan kewangan dalam tempoh kerajaan sementara. Saya nak tegaskan saya tidak pernah luluskan projek dalam tempuh kerajaan sementara.
“Kalau ada bukti buatlah laporan SPRM, jangan buat fitnah macam itu,” katanya.
Beliau ebrkata demikian ketika berucap pada Ceramah Umum Perikatan Nasional (PN) Lipis, di Taman Cahaya, malam tadi.
Tuan Ibrahim menegaskan beliau tidak pernah campur tangan urusan pemberian tender.
“Malah, saya akan pastikan semua projek yang diluluskan kementerian mengikut semua prosedur kewangan.
“Saya tegaskan saya tidak pernah campur tangan dalam sebarang pemberian tender. Jawatankuasa tender yang urus.
“Saya tidak pernah tanya pun ketua setiausaha. Ikut prosedur, ikut peraturan, siapa yang layak siapa yang dapat proceed (teruskan).
Sehubungan itu Tuan Ibrahim berkata, beliau akan meminta peguamnya melihat dari aspek undang undang mengenai dakwaan Rafizi itu.
“Tetapi dia berselindung dengan ayat di sebalik, saya difahamkan, saya dimaklumkan, saya diberitahu, yang sukar diambil tindakan undang undang,” katanya.
Semalam, Rafizi menuntut penjelasan Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja-kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.
Beliau mendakwa, berdasarkan sumber dalaman, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender tersebut secara rundingan terus kepada sebuah syarikat sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara. – Malaysiapost