KASA nafi anugerah tender, dakwaan Rafizi hanya bersifat persepsi
DAKWAAN bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dalam proses menganugerahkan tender Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat 2 ketika ditadbir kerajaan sementara (Caretaker) hanyalah bersifat persepsi.
KASA dalam kenyataan memaklumkan, ini kerana semua proses perolehan atau rundingan dengan pihak kontraktor, ditangguhkan sebaik sahaja kerajaan dibubarkan pada 10 Oktober lalu.
Ia sekali gus menolak dakwaan kenyataan yang tular berkaitan ‘Kerajaan Caretaker’ membuat anugerah tender yang bertarikh semalam.
Menurut KASA, tindakan itu juga selaras dengan Mesyuarat Khas Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Perkhidmatan Bil 1 Tahun 2022 pada 11 Oktober lalu dan Surat Pekeliling Kementerian Kewangan (MOF) bertarikh 18 Oktober 2022.
“Ia berkaitan dengan ‘Pelaksanaan Perolehan Kerajaan Selaras Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker’ serta Garis Panduan Peranan dan Fungsi Kerajaan Caretaker yang diluluskan Jemaah Menteri pada 7 Oktober lalu antara lain menetapkan, sebarang komitmen kontraktual atau aku janji (undertaking) hendaklah dielakkan.
“Ia termasuklah apa-apa rundingan atau aku janji baharu yang boleh mengikat dan membebankan serta memberi implikasi kewangan kepada kerajaan baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mendakwa KASA kini dalam dalam proses untuk menganugerahkan projek bernilai RM2 bilion secara rundingan terus kepada syarikat dimiliki individu dikatakan mempunyai kaitan dengan pemimpin Umno.
Rafizi berkata, beliau dimaklumkan sumber dalam kerajaan yang usaha meluluskan segera projek itu di bawah pentadbiran kerajaan sementara adalah sebagai timbal balas selepas menerima dana untuk digunakan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
KASA menjelaskan, sepanjang berada di bawah Kerajaan Caretaker, pihaknya menangguhkan segala proses perolehan berkaitan dengan Projek Tebatan Banjir secara Off-Budget (2023 – 2030).
“Termasuklah berkaitan pengeluaran Surat Niat (Letter Of Intent – LOI), Surat Pelawaan, Surat Setuju Terima (SST) dan sebarang bentuk rundingan dengan pihak kontraktor atau perunding termasuk Kerja-kerja Rancangan Tebatan Banjir Sungai Langat.
“KASA sentiasa cakna dan patuh kepada peraturan yang berkaitan dalam tempoh Kerajaan Caretaker ini. Justeru itu, kenyataan berkenaan tidak berbangkit sama sekali dan hanya bersifat persepsi sahaja,” katanya. – Malaysiapost