‘Kestabilan’ dan ‘Kemakmuran’ Umno serta BN tak boleh dipercayai – Kit Siang

‘Kestabilan’ dan ‘Kemakmuran’ Umno serta BN tak boleh dipercayai – Kit Siang

APA yang Umno dan Barisan Nasional (BN) katakan mengenai “kestabilan” dan “kemakmuran” tidak boleh dipercayai, kata veteran DAP, Lim Kit Siang.

Ini kerana katanya, pemimpin BN sendiri tidak mengakui Malaysia telah ketinggalan di belakang negara lain selepas enam dekad mentadbir, malah tidak mengakui 1MDB adalah skandal korupsi terbesar di Malaysia.

Beliau seterusnya mempersoalkan bolehkah pemimpin Umno dan BN menyenaraikan negara-negara yang menikmati “kestabilan” dan “kemakmuran” dengan menjadi lebih korup dan kleptokratik?

“Boleh para pemimpin Umno dan BN menjelaskan mengapa mereka terus menerus menafikan yang skandal 1MDB adalah skandal kewangan terbesar di Malaysia yang telah menyebabkan Malaysia dilihat sebagai “kleptokrasi dalam bentuk yang terburuk”?

“Biarlah Presiden Umno, Zahid Hamidi; Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Presiden MIC, S Vigneswaran, menjawab mengapa mereka tidak pernah mengutuk skandal 1MDB dalam 10 tahun yang lepas.

“Malah, saya patut ke hadapan selangkah lagi dan bertanya kepada Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran mengapa mereka menyokong skandal 1MDB – adakah kerana Umno, MCA, dan MIC telah menerima manfaat daripada skandal ini,” tulisnya menerusi blog hari ini.

Tambah Kit Siang, pada Julai lalu Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz memberitahu Parlimen yang baki komitmen hutang 1MDB berjumlah RM32.08 billion setakat 30 Jun 2022, pada kadar tukaran matawang AS$1 kepada RM4.50.

“Tengku Zafrul menyatakan yang kerajaan telah menyalurkan bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman dan duluan sejumlah RM10.85 billion dari April 2017 sehingga Mei 2022 melalui Minister of Finance Incorporated (MoF Inc) untuk membayar komitmen hutang dan faedah 1MDB.

“Dia mengatakan, selain bantuan langsung kewangan dari kerajaan, faedah hutang 1MDB juga dibiayai melalui dana pemulihan aset yang disimpan dalam akaun amanah di MOF yang dikenali sebagai Akaun Amanah Pemulihan Aset.

“Sehingga Jun tahun ini, jumlah dana 1MDB yang telah diperoleh semula berjumlah RM19.28 billion dalam bentuk pelbagai matawang asing, termasuklah Dolar Amerika Syarikat, Dolar Singapura, dan Dolar Australia,” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata adakah Ahmad Zahid, Ka Siong, dan Vigneswaran akan mengarahkan supaya setiap sen yang diterima Umno, MCA, dan MIC dari skandal 1MDB dipulangkan semula kepada kerajaan untuk membantu membayar puluhan billion ringgit hutang 1MDB? – Malaysiapost

Komen