Kilang guna teknologi Taiwan di Maran

Kilang guna teknologi Taiwan di Maran

DENGAN nilai pelaburan RM747 juta, daerah Maran kini dalam proses perubahan dan pembangunan secara berfasa untuk tempoh 15 tahun akan datang.

Ia susulan pembinaan kilang memproses produk hiliran menggunakan teknologi Taiwan di kawasan perindustrian Maran II, dekat Pekan Tajau yang turut membuka lebih 1,000 peluang pekerjaan kepada penduduk.

Bagi merealisasikan projek itu, satu memorandum persefahaman (MoU) antara Biosea dan Ika Jaya Sdn Bhd ditandatangani di Maran, hari ini.

Biosea diwakili pengerusinya, Datuk Daniel Lim manakala Rahimah Karim mewakili Ika Jaya Sdn Bhd.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan calon kerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Maran, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin menyaksikan majlis itu.

Wan Rosdy dalam ucapan ringkasnya berharap pelaksanaan projek itu dimulakan secepat mungkin supaya dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat.

Sementara itu, Shahaniza berkata, projek itu bakal membawa Maran keluar daripada status daerah yang agak ketinggalan di Pahang.

“Kalau sekarang ini, daerah Maran digambarkan seperti ‘bandar mati’ dan tiada pembangunan pesat seperti tempat lain, jadi bila ada projek Biosea, dapatlah kita tingkatkan imej Maran itu sendiri.

“Banyak lagi (projek) akan datang ke Maran selepas ini dan kebetulan di sini juga akan ada stesen Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL), stesen kargo dan penumpang.

“Jadi secara tidak langsung, ia memberi nilai tambah kepada kawasan Maran,” katanya. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan.

Komen