KPKT garis enam fokus jadikan Malaysia berdaya huni

KPKT garis enam fokus jadikan Malaysia berdaya huni

KEMENTERIAN Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggariskan enam fokus untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berdaya huni.

Ia adalah penyediaan rumah mampu milik yang mencukupi dan berkualiti, mengarus perdana pendigitalan dalam penyampaian perkhidmatan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan memperkasa pembangunan komuniti bandar.

Fokus lain termasuk mempertingkat kesiapsagaan kebombaan dan penyelamatan, mengutamakan kemampanan bandar, pembangunan dan daya tahan Bandar Hijau serta mentransformasi pengurusan sisa pepejal ke arah pembangunan ekonomi kitaran.

Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib berkata, banyak program yang telah dan sedang dilaksanakan kerajaan bagi menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara berdaya huni.

“Bagi memastikan Agenda Malaysia Berdaya Huni ini terlaksana, tindakan pengukuran terhadap keberkesanannya perlu dilakukan.

“Maka, kementerian melalui PLANMalaysia telah membangunkan Indeks Daya Huni Malaysia (iDAM) dilancarkan pada 18 Ogos yang lepas, sebagai instrumen pengukuran tahap daya huni dan kesejahteraan rakyat di peringkat PBT,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Tahun 2022, hari ini.

HPBS diadakan untuk menghargai sumbangan pihak yang terlibat dalam perancangan dan pembangunan bandar dan desa, khususnya kepada Perancang Bandar dan Urban Manager di agensi kerajaan mahupun swasta serta Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Terdahulu, M Noor Azman berkata, Persidangan Perancangan Bandar Peringkat Kebangsaan yang diadakan sebelum ini mampu menjadi platform berimpak tinggi berkaitan aspek daya huni dan kemampanan bandar.

“Persidangan itu sangat sesuai bagi membincangkan, mengupas dan mencadangkan solusi serta hala tuju terbaik bagi mendepani dan menangani pelbagai isu pembangunan bandar dan desa dan proses urbanisasi secara keseluruhannya,” katanya.

Pada majlis itu, Majlis Bandaraya Kuantan dipilih tempat pertama bagi kategori PBT bertaraf bandaraya paling mampan, diikuti Majlis Bandaraya Petaling Jaya (kedua) dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (ketiga).

Manakala Penghargaan Khas Bandar Mampan 2022 diberikan kepada Perbadanan Putrajaya. – Malaysiapost

Komen